Hidir Reduan dan Luqman Arif Abdul Karim


PERKAHWINAN kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki, 41, di Kelantan tidak sah mengikut peruntukan undang-undang dan mereka perlu dipisahkan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, status mereka tidak sah kerana prosesnya bercanggah dengan Enakmen Keluarga Islam yang menggariskan sebarang perkahwinan bawah umur, iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun untuk lelaki, perlu mendapat kelulusan Mahkamah Syariah.

Justeru, beliau berkata, pasangan terbabit perlu dipisahkan segera walaupun perkahwinan mereka diwalikan bapa kanak-kanak perempuan itu yang difahamkan berasal dari selatan Thailand.

“Saya bercakap dengan seorang hakim Mahkamah Syariah yang menjelaskan perkahwinan mereka tidak sah kerana bercanggah dengan Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

“Mengikut peruntukan berkenaan, kanak-kanak perempuan bawah umur itu perlu mendapat kelulusan Mahkamah Syariah untuk berkahwin.

“Oleh itu, memang (perkahwinan mereka) tidak sah dan (pasangan terbabit) mesti dipisahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Tertutup Eksklusif Sambutan Aidilfitri bersama 2,000 anak yatim asnaf anjuran Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Presiden Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia Ishak Abdul Kadir.

Tindakan peraih getah itu mengahwini kanak-kanak perempuan terbabit yang difahamkan berasal dari selatan Thailand, baru-baru ini, mencetuskan polemik apabila ia disifatkan bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2016 dan Enakmen Keluarga Islam.

Susulan itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan akan membentangkan pindaan untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Katanya, pindaan itu akan dilakukan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 16 Julai depan, bagi memastikan hak dan kepentingan kanak-kanak termasuk berkaitan isu perkahwinan dapat dilindungi sepenuhnya.

Tanpa memperincikan akta bakal dipinda, beliau berkata, usaha berkenaan akan dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita rasa elok sekarang dinaikkan had umur perkahwinan (bagi perempuan) daripada 16 tahun kepada 18 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjejaki lelaki itu di Gua Musang, gagal apabila individu terbabit dipercayai lari dan menyembunyikan diri.

“Saya sudah mengarahkan pegawai untuk menjejakinya tetapi menerusi perbualan telefon semalam, usaha mendapatkan keterangan dan butiran lanjut itu gagal kerana beliau lari serta menyembunyikan diri.

“Kita perlu memperhalusi kes ini secara menyeluruh. Berdasarkan perincian daripada seorang hakim Mahkamah Syariah yang saya temui, perkahwinan mereka tidak sah dan terbatal kerana tidak mendapat kelulusan mahkamah.

“Kita juga difahamkan mungkin wujud unsur tekanan terhadap kanak-kanak perempuan ini, mencakupi aspek kemiskinan dan faktor persekitaran kerja, kerana lelaki terbabit dikatakan majikan keluarga berkenaan,” katanya.

Justeru, Dr Wan Azizah berkata, penelitian terhadap kes itu perlu dibuat secara menyeluruh dengan memastikan hak dan kepentingan kanak-kanak terbabit sentiasa diutamakan walaupun bukan warga Malaysia.

Katanya, ia termasuk kemungkinan wujud unsur jenayah dalam perkahwinan terbabit, sekali gus memberi tekanan terhadap keluarga kanak-kanak perempuan berkenaan untuk menerima lamaran.

“Penelitian awal turut mendapati ini adalah kali kedua lelaki berkenaan melamar kanak-kanak perempuan itu selepas ditolak ibunya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 4:08 PM