Hairulazim Mahmud


DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (e-DKK) digunapakai dengan lebih meluas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sehingga kini sebanyak 1,254 kakitangan dan bakal pekerja sudah diperiksa sejak e-DKK dilancarkan 1 April lalu.

“Sebanyak 68 permohonan daripada individu dan pelbagai agensi diterima sehingga bulan ini.

“Sistem ini diwujudkan untuk membolehkan ibu bapa, individu dan majikan yang mengambil seseorang untuk menguruskan kanak-kanak membuat semakan bagi memastikan individu berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutup Program Khalifah Junior 2019 di Bangi, hari ini.

Sistem berkenaan mempunyai lebih 3,000 nama pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak sejak 2017 hingga Februari 2019 mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

DR Wan Azizah melawat Taska Tempat Kerja ILIM selepas Majlis Penutup Program Khalifah Junior JKM Tahun 2019 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. FOTO Salhani Ibrahim
DR Wan Azizah melawat Taska Tempat Kerja ILIM selepas Majlis Penutup Program Khalifah Junior JKM Tahun 2019 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. FOTO Salhani Ibrahim

Sementara itu, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Sepang, Seremban dan Port Dickson dipilih sebagai tiga daerah bagi program rintis Diversion iaitu program pendekatan alternatif mengendalikan kanak-kanak yang mempunyai konflik dengan undang-undang.

Beliau berkata, program perintis intervensi bagi menangani masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak itu untuk menilai kesesuaiannya, kesediaan serta kemampuan sumber.

“Ia juga bagi memberi ruang kepada penambahbaikan program sebelum dilaksanakan ke seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 2:58 PM