Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS sudah mengenal pasti identiti penumpang terakhir yang menggunakan khidmat pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, yang ditemui meninggal dunia di dalam keretanya di Taman Selayang Makmur, Gombak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Tey Kong Seng berkata, maklumat itu diperolehi daripada pihak Grab bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Berdasarkan maklumat diterima, kami dimaklumkan penumpang terakhir yang menggunakan khidmat mangsa adalah lelaki warga asing.

"Usaha mengesan lelaki terbabit sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.

Kong Seng berkata, hasil bedah siasat dilakukan mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas.

"Walaupun terdapat kesan melecet dipercayai dijerut pada leher mangsa, namun punca kematiannya disebabkan sesak nafas dipercayai ditekup menggunakan baju T miliknya sendiri.

"Pemeriksaan lanjut pada Perodua Myvi milik mangsa mendapati dompet serta satu telefon bimbit milik mangsa hilang," katanya yang memaklumkan motif kejadian masih dalam siasatan.

NSTP melaporkan Aiman ditemui meninggal dunia dalam keadaan terlingkup di tempat duduk belakang kereta Produa Myvi berkenaan dengan bahagian kepala di bawah mengenai lantai kenderaan itu, manakala kakinya di atas pada 8.20 malam, kelmarin.

Berita berkaitan:

‘Aiman ibarat nyawa ibu’ [METROTV]

[UPDATE] Kenapa dia diperlakukan begitu...?

Pemandu Grab maut dibunuh

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 6:40 PM