ROSZALI (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci kereta kepada Rafidah dan Iswadi selepas mereka memenangi hadiah utama kereta Honda HRV dalam kempen cabutan bertuah ‘Live, Own & Win @ Bandar Enstek 2017’ TH Properties di Bandar Enstek, Nilai, hari ini. FOTO KHairul Najib Asarulah Khan.
ROSZALI (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci kereta kepada Rafidah dan Iswadi selepas mereka memenangi hadiah utama kereta Honda HRV dalam kempen cabutan bertuah ‘Live, Own & Win @ Bandar Enstek 2017’ TH Properties di Bandar Enstek, Nilai, hari ini. FOTO KHairul Najib Asarulah Khan.
Khairul Najib Asarulah Khan


“INI adalah hadiah paling besar pernah saya dapat,” kata jurutera sebuah syarikat penerbangan antarabangsa, Iswadi Mohamad, 38, selepas memenangi Honda HRV iaitu hadiah utama kempen cabutan bertuah ‘Live, Own & Win @ Bandar Enstek 2017’ TH Properties Sdn Bhd (TH Properties) di Nilai, hari ini.

Cabutan bertuah itu ditawarkan kepada pembeli rumah yang menandatangani Perjanjian Jual Beli bermula 17 April sehingga 16 Oktober tahun lalu dengan pembayaran 10 peratus daripada harga rumah di kawasan berkenaan.

Iswadi berkata, dia mengetahui mengenai projek di kawasan perumahan itu selepas memperoleh iklan menerusi e-mel.

“Selepas melawat kawasan itu saya dan isteri (Rafidah Saimi, 38) memutuskan untuk membelinya disebabkan berdekatan dengan kemudahan asas lain selain konsep perumahannya yang moden.

“Pada mulanya kami tidak tahu ada cabutan bertuah. Sebaliknya selepas proses pembayaran 10 peratus harga rumah itu saya dimaklumkan layak untuk menyertai cabutan bertuah.

“Tidak sangka hadiahnya semewah ini dan ia adalah rezeki kami sekeluarga,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman.

Selain Honda HRV, empat lagi cabutan bertuah menawarkan Perodua Alza, baucar Signature Kitchen bernilai RM30,000 dan dua baucar IKEA iaitu bernilai RM20,000 dan RM14,000.

Pemenang Perodua Alza, Mohammad Anas Abdul Aziz, 38, berkata pada mulanya dia tidak mengetahui adanya cabutan bertuah berkenaan.

“Saya melawat rumah contoh pada Julai lalu dan membuat proses pembelian. Pada hujung tahun lalu saya dimaklumkan terpilih untuk menyertai cabutan bertuah ini.

“Ini adalah rezeki Syawal buat kami sekeluarga kerana dapat kereta baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Roszali berkata, dalam tempoh itu seramai 25 pembeli rumah layak untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan.

“Ia membabitkan lima jenis rumah bermula daripada harga RM487,400 sehingga RM2 juta. Langkah ini adalah salah satu pendekatan untuk kami menghargai pelanggan TH Properties,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 11:32 PM