DATUK Bandar MBJB, Amran A Rahman (tengah) menyampaikan hadiah utama kepada Lay Kwang (dua dari kanan) bersempena Mesyuarat Penuh MBJB dan Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah 2017 di Hadapan Pejabat MBJB, Johor Bahru. -Foto NURUL AMANINA SUHAINI
DATUK Bandar MBJB, Amran A Rahman (tengah) menyampaikan hadiah utama kepada Lay Kwang (dua dari kanan) bersempena Mesyuarat Penuh MBJB dan Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah 2017 di Hadapan Pejabat MBJB, Johor Bahru. -Foto NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


“BAYAR cukai itu tanggungjawab kita,” kata Chun Lay Kwang, 80, yang menerima hadiah cabutan bertuah kereta Proton Persona selepas menjelaskan cukai harta pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah 2017 Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di Johor Bahru, hari ini.

Chun yang menetap di Serene Park, Johor Bahru, menzahirkan rasa gembira tidak terhingga apabila menerima hadiah bernilai RM60,000 itu untuk kegunaan ahli keluarganya.

“Setiap tahun, saya hanya menjalankan tanggungjawab membayar cukai harta dan tidak terfikir akan diberikan penghargaan seumpama ini.

“Saya sentiasa menjelaskan bayaran cukai harta dalam tempoh masa ditetapkan bagi mengelakkan tunggakan dan dengan adanya kaedah pembayaran secara atas talian, lebih ramai akan membayar cukai,” katanya.

Program Cabutan Bertuah Cukai Harta adalah acara tahunan MBJB bagi menggalakkan dan memberi kesedaran mengenai kepentingan membayar cukai harta kepada orang awam.

Program kali ini menawarkan 88 hadiah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM200,000 termasuk motosikal, peti sejuk, televisyen, telefon pintar dan baucar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 6:53 PM