MOHD Iswadi (kiri) ditemani isteri dan anaknya.
MOHD Iswadi (kiri) ditemani isteri dan anaknya.
Oleh Md Fuzi Abd Lateh

Kuala Selangor: Sokongan kuat keluarga mendorong pelumba berpengalaman, Mohd Iswadi Mohd Yusoff, 36 menyertai Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Taman Millenium Kuala Kubu Bharu, 27 Disember ini.

Menyarung jersi pasukan Kuala Selangor Cycling Club (KSCC) bapa dua anak ini berazam memberikan saingan sengit.

Katanya, setiap kali turun berentap di sirkit terdahulu, isterinya, Nor Hasidawati Hamid, 35 setia menemaninya untuk memberi semangat.

Anaknya Mohd Aiman Haimal, 10 dan Mohd Airiel Hafiqie, 5 juga sering dibawa ke lokasi pertandingan sejak lima tahun lalu.

“Ahli keluarga saya juga kaki kayuh dan ada pengalaman luas meredah hutan, paya, belukar, bukit dan gunung.

“Kami sudah tidak saba beraksi di Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Iswadi yang menyertai kategori terbuka yakin menduduki kedudukan 15 teratas pada sirkit akhir itu.

Katanya, di Kuala Kangsar, Perak dia meraih tempat ke-24 keseluruhan dan memperbaiki kedudukan itu di Temerloh, Pahang, tempat ke-18.

“Kehadiran anak dan isteri di lokasi perlumbaan menyuntik semangat saya untuk beraksi lebih baik lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:08 AM