ANGGOTA bomba mengesan jika ada  pencemaran radioaktif pada wanita di Taman Indah Jaya. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengesan jika ada pencemaran radioaktif pada wanita di Taman Indah Jaya. FOTO ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


BAHANA mempercayai aplikasi telefon pintar yang kononnya bagi mengesan radioaktif, wanita menghubungi bomba selepas mendakwa mengesan pencemaran berkenaan pada peti sejuk di rumahnya di Taman Indah Jaya, Ipoh, hari ini.

Kejadian 10.50 pagi itu, mengakibatkan suasana gempar dan 18 pegawai dan anggota bomba selain polis ke rumah wanita terbabit bersama ibu bapanya.

Komander Operasi Pasukan Unit Bahan Bahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Suhaimi Husain berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian, pasukannya ke lokasi untuk membuat pemeriksaan dan pemantauan.

“Maklumat berdasarkan pemilik kediaman yang menghubungi pihak berkuasa memaklumkan terdapat bahan kimia radioaktif di rumah terbabit.

“Wanita berkenaan mendakwa mengesan radioaktif pada peti sejuk dan susulan itu operasi mengesan bahan terbabit dijalankan di luar dan dalam rumah dua tingkat didiami wanita terbabit bersama ibu bapanya,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, selepas hampir dua jam membuat pengesanan dan pemantauan menggunakan alat pengesan, tiada bahan kimia dikesan pada rumah terbabit.

“Hasil keterangan lanjut, wanita itu mendakwa mengesan radioaktif menggunakan aplikasi telefon bimbitnya.

“Bagaimanapun apabila pemeriksaan dijalankan apa yang dikesan aplikasi berkenaan hanyalah gelombang magnet,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata, kes berkenaan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 12.44 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 6:02 PM