ANGGOTA bomba membersihkan pakaian keselamatan selepas selesai operasi. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba membersihkan pakaian keselamatan selepas selesai operasi. FOTO ihsan bomba
Muhammad Apendy Issahak


BOMBA mengambil masa kira-kira tiga jam bagi menangani kes kebocoran gas di kilang ais di Taman Pengkalan Maju, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, kebocoran dikesan berlaku pada mesin kompresor memproses ais dikilang terbabit.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ipoh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 8.16 pagi dan setibanya di kilang terbabit mendapati kebocoran membabitkan injap pada mesin kompresor.

"Hasil pemeriksaan oleh anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) mendapati injap mesin kompresor berlaku kebocoran dan mengeluarkan gas amonia, namun tiada mangsa yang mengalami kesesakan nafas atau cedera.

"Bomba bertindak menutup injap pada mesin yang bocor itu sebelum menjalankan kerja-kerja pengusingan.

"Kerja pengudaraan dan semburan air kemudian dilakukan bagi meneutralkan kawasan yang terjejas dengan bahan kimia berbahaya terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, selepas operasi meneutralkan kawasan yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Ismail Darus itu selesai, bomba menyerahkan tindakan lanjut kepada pihak penyelenggaraan kilang.

"Semburan air juga dilakukan pada badan anggota bomba, pakaian dan peralatan yang digunakan bagi menghilangkan kesan gas amonia berkenaan.

"Operasi tamat sepenuhnya pada 11.15 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 2:45 PM