BERNAMA

INSIDEN kehilangan dan kecurian bahan radioaktif adalah lebih ‘kerap’ berlaku di Malaysia berbanding insiden yang membabitkan kecemasan dan keselamatan sinaran, demikian menurut Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (ANM) Dr Mohd Abd Wahab Yusof.

Menurutnya, rekod pihak berkuasa dari 1990an sehingga kini menunjukkan terdapat 17 kes pencerobohan, kehilangan atau kecurian bahan radioaktif, yang berpunca daripada kegagalan kawalan keselamatan, yang mana sebahagian besarnya berlaku semasa pengangkutan.

Sehubungan itu, Mohd Abd Wahab berkata, kepentingan keselamatan harus menjadi keutamaan pemegang lesen dan industri yang memiliki bahan radioaktif bagi memastikan kejadian membabitkan eksploitasi bahan radioaktif bagi tujuan jenayah atau keganasan tidak berlaku.

“Tanpa pengawasan ketat, kemungkinan risiko berlakunya sebarang kegiatan seperti kecurian, sabotaj, akses tanpa izin, pemindahan secara haram atau tindakan berniat jahat lain yang membabitkan bahan nuklear, radioaktif lain atau apa-apa kemudahan berkaitan akan menjadi lebih sukar untuk dikawal,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Nuklear 2019 bertemakan “Keselamatan Nuklear: Perkara-perkara Penting?” di Bangi, hari ini.

Menurutnya, keselamatan nuklear bukan sahaja melibatkan kawalan terhadap loji kuasa nuklear dan senjata nuklear semata-mata, tetapi juga merangkumi kawalan terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan penggunaan bahan radioaktif.

Katanya, walaupun tiada loji nuklear di Malaysia namun, penggunaan bahan radioaktif adalah meluas terutamanya dalam sektor industri dan perubatan, di mana mengikut rekod Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), lebih 1,300 syarikat terlibat dengan aktiviti penggunaan bahan radioaktif berlesen.

Mohd Abd Wahab berkata, reaktor penyelidikan nuklear di Dengkil dipertingkatkan keselamatannya dengan pemasangan pagar ‘anti climb’ yang akan siap tahun hadapan dan pengurusan kawasan itu mengikut piawaian antarabangsa dan AELB.

Ditanya risiko kecurian bahan radioaktif yang akan digunakan untuk tujuan keganasan nuklear, Mohd Abd Wahab berkata, ANM bersedia membantu dari segi teknikal jika diminta pihak polis dan bomba kerana agensi itu mempunyai peralatan yang mencukupi dan kepakaran terlatih.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Persenjataan) Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StarRT) Bukit Aman, Datuk Muhammad Koey Abdullah berkata, pihak polis khuatir berhubung penyalahgunaan radiologikal ekoran 17 kes yang dilaporkan.

“Kita akan pantau dari segi penyalahgunaan dan rujuk kepada ANM dan AELB. Kita khuatir ada yang menggunakan bahan radioaktif untuk membuat ‘bom kotor’,” katanya.

Persidangan Keselamatan Nuklear 2019, yang pertama kali dianjurkan, adalah untuk memahami peranan serta tanggungjawab pelbagai pihak dalam memperkasakan pelaksanaan kawalseliaan keselamatan nuklear di Malaysia bagi memastikan keselamatan orang awam bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 4:09 PM