MOHD Naharudin (tiga dari kanan) melayan pelanggan yang datang untuk membeli berbagai jenis kuih raya moden dan tradisional di premis Nahar Power  di Angsana Mall Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed.
MOHD Naharudin (tiga dari kanan) melayan pelanggan yang datang untuk membeli berbagai jenis kuih raya moden dan tradisional di premis Nahar Power di Angsana Mall Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed.
Ibrahim Isa


MEMAHAMI keadaan ekonomi semasa dan mengambil semangat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang ingin berjimat cermat menyaksikan pemilik Nahar Power, Mohd Naharudin Isa, 48, mengambil keputusan menurunkan harga lebih 10 produk dijualnya di Angsana Mall Johor Bahru.

Mohd Naharudin berkata, dia mula berniaga pada 1992 ketika Tun Mahathir masih menjawat jawatan Perdana Menteri Keempat Malaysia dan banyak yang dipelajarinya hingga ke hari ini.

“Jika kita lihat zaman pemerintahannya sebelum ini, beliau lebih banyak berjimat cermat, namun semua mampu merasai nikmat kehidupan di negara ini. Konsep beliau adalah biar sama-sama senang, sama-sama rasa serta adil.

“Disebabkan jumlah penduduk daerah Johor Bahru bertambah dengan pesat sejak kebelakangan ini, kehadiran pengunjung Singapura dan paling penting kepulangannya memerintah negara, saya akan menurunkan harga barang supaya semua lapisan masyarakat dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh gembira dan berjimat.

“Saya berharap dengan cara ini, orang ramai berpeluang merasai pelbagai jenis kuih Nahar Power dengan harga mampu milik,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan bahan digunakan untuk membuat kuih tidak dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan sebab itulah, agak sukar untuk peniaga kuih raya menurunkan harga apabila GST ditarik semula kerajaan.

“Bagaimanapun, situasi itu tidak mematahkan semangat saya untuk memberikan potongan harga kepada semua pelanggan.

“Pengalamannya berurusan dengan pelanggan luar negara sejak lebih 20 tahun lalu digunakan untuk membantu memasarkan produk masing-masing dan mengekalkan kualiti untuk bersaing di pasaran.

“Pelanggan luar negara tidak kisahkan harga jualan mungkin disebabkan kekuatan nilai mata wang mereka, namun mementingkan kualiti dan rasa kuih dijual,” katanya.

Pelanggan dari Singapura, Zaher Samad, 43, berkata dia mula membeli kuih Nahar Power sejak 10 tahun lalu di Angsana Mall Johor Bahru setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Biasanya saya akan beli dalam enam atau tujuh jenis kuih untuk dibawa pulang dan diberikan kepada ibu, adik beradik dan khas untuk tetamu menjelang Aidilfitri nanti.

“Ada satu tahun, saya cuba membeli kuih raya dari kedai lain, mungkin harganya agak murah berbanding di sini, tetapi rasanya tidak sama. Saya menjadi pelanggan tetap kuih Nahar Power kerana rasanya tetap sama hingga ibu saya sendiri pun tahu.

“Alhamdulillah, kualiti kuih dijual itu benar-benar 'home made' dengan bahan digunakan berkualiti tinggi, anda tidak risau kuih berbau atau rosak kerana terbukti kuih dijual tahan lama,” katanya.

Menurutnya, jika bukan musim perayaan sekali pun, dia tetap akan membeli beberapa biskut Nahar Power yang dijadikan makanan ringan kepada keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 8:48 PM