MOHD Naharudin (dua dari kiri) menyediakan berbagai kuih raya dengan harga berpatutan. FOTO Zain Ahmed
MOHD Naharudin (dua dari kiri) menyediakan berbagai kuih raya dengan harga berpatutan. FOTO Zain Ahmed
Ibrahim Isa


MESKIPUN banyak bazar dibuka untuk menjual pelbagai kuih menjelang Aidilfitri ini, rata-rata pembeli dari luar Johor tetap membeli hidangan itu dari ‘kedai lama’ berbanding mendapatkannya di bazar Ramadan.

Warga Singapura, Maimunah Muhammad, 52, mengakui suka datang ke Johor dan melihat kemeriahan bazar Ramadan yang menjual pelbagai jenis makanan, kuih dan pakaian.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dan tetap membeli barangan sempena Aidilfitri, terutama kuih raya di kedai.

Katanya, setiap tahun dia membeli kuih raya di Johor Bahru dan hanya membelinya di kedai Nahar Power di Angsana Johor Bahru Mall.

“Selain mempunyai kuih berkualiti, dia berniaga di pusat beli-belah itu sejak hampir 20 tahun lalu dan sekiranya kuih mempunyai masalah, kami boleh berjumpanya di kedai.

“Peniaga kuih di bazar ada juga yang sedap, tetapi mereka hanya berniaga secara bermusim dan apabila tamat Ramadan, kami tidak boleh mengadu jika ada sebarang masalah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, harga yang dijual juga berpatutan dan jika bertuah, pemilik kedai akan melelong kuih.

Pelanggan, Roszellane Razali, 41, berkata sanggup datang dari Kuala Lumpur untuk memborong sendiri kuih Nahar Power.

Katanya, harga yang dijual tidak banyak bezanya dengan peniaga di bazar Ramadan, namun apa yang lebih penting, kualiti kuih yang dijual dan boleh disimpan lama.

“Alhamdulillah saya membeli kuih di kedai ini sejak lebih lima tahun lalu dan berpuas hati dengan kuih yang dibeli.

“Selain kegunaan sendiri, saya beli untuk rakan dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, pengusaha Nahar Power, Mohd Naharudin Isa, 50, berkata, bagi menyahut seruan kerajaan supaya rakyat berbelanja secara berhemah, pihaknya tidak menaikkan harga kuih, walaupun kos meningkat.

“Dalam keadaan mencabar ini, kita sebagai rakyat perlu beri peluang kepada kerajaan dan memberi sumbangan yang boleh.

“Sebagai peniaga, saya mengekalkan harga kuih yang dijual dengan harapan semua pelanggan boleh menikmati Hari Raya sambil berjimat.

“Selain itu, tahun ini saya dapati pelanggan luar negara seperti Singapura dan Brunei lebih memahami keadaan ekonomi semasa dan tidak meminta diskaun,” katanya.

Tindakan mereka, katanya, amat membantu peniaga yang berdepan pelbagai cabaran ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 10:19 PM