Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Niat saya bukan nak untung sangat tetapi lebih kepada membantu orang ramai yang memerlukan, kata Nurul Hidayu Zulkifli.

Nurul Hidayu, 34, dari Kampung Tasik Padang Khabor tular di media sosial apabila menjual 55 jenis menu sarapan pagi termasuk nasi goreng, nasi minyak, nasi lemak dan pelbagai jenis kuih muih dengan harga RM1 setiap satu.

Katanya, dia menjalankan perniagaan itu sejak 14 Oktober lalu dengan hanya empat jenis menu sahaja.

"Bagaimanapun sambutan yang diterima sangat menggalakkan menyebabkan dia menambah jumlah menu makanan yang dijual.

"Sebanyak 55 menu makanan dijual sekarang dan semuanya berharga RM1 setiap satu.

"Saya menyasarkan 100 jenis menu dijual bermula tahun hadapan dalam usaha mempelbagaikan lagi pilihan selain memenuhi permintaan pelanggan," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, hari ini.

Nurul Hidayu berkata, dia berasa seronok dan mendapat kepuasan apabila makanan yang dijualnya itu laris.

"Hanya dalam tempoh satu jam sahaja semua makanan habis terjual malah ada pelanggan yang tidak sempat membelinya kerana datang lewat.

"Ada pelanggan yang datang bersama enam anak dan mereka seronok kerana dapat memilih dua hingga tiga menu untuk setiap seorang berbanding membelinya di kedai lain.

"Semua makanan itu dijual itu disediakan oleh 10 ahli keluarga terdekat termasuk ibu saudara, adik beradik dan sepupu.

"Masing-masing menyediakan tiga hingga empat menu setiap seorang," katanya.

Tambahnya, kebiasaannya pelanggan membeli tiga hingga 10 juadah seorang manakala nasi minyak serta nasi lemak ialah menu yang paling laris.

ORANG ramai memenuhi gerai makanan berharga RM1 di Kampung Tasik Padang Khabor. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ORANG ramai memenuhi gerai makanan berharga RM1 di Kampung Tasik Padang Khabor. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

"Berasa puas dapat bantu orang ramai maklumlah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai penduduk yang terjejas dan mengalami masalah kewangan.

"Sekurang-kurang jika mereka yang terjejas datang membeli di gerai saya, mereka boleh berjimat cermat," katanya.

Menurutnya, dia dan ahli keluarganya akan meneruskan perniagaan itu selagi mendapat sambutan.

"Perniagaan seperti itu boleh diteruskan. Biarpun harga jualan murah namun sekiranya ramai yang membelinya pasti memperolehi keuntungan juga," katanya yang memulakan perniagaan seawal 7 pagi setiap hari.

Sementara itu, Amy Syafika Nazri, 25, dari Kampung Mak Kemas berkata, dia dan dua rakannya sanggup datang dari jauh untuk membeli di gerai makanan pagi yang tular itu.

"Pertama kali saya dan rakan membeli makanan pagi dengan harga RM1 setiap satu.

"Biasanya RM5 diperuntukkan seorang untuk makan pagi tetapi sekarang RM5 boleh berkongsi juadah yang dibeli bersama dua rakan lain.

"Saya akan datang ke gerai itu setiap pagi selepas ini kerana membantu saya berjimat cermat," katanya.

Nurin Nazirah Mohd Noor, 18, dari Kampung Banggol Katong berkata, dia berharap lebih ramai peniaga menjual makanan dengan harga yang murah seperti itu.

"Saya berterima kasih kepada peniaga berkenaan kerana menjual makanan dengan harga yang murah dan lebih penting semua juadah yang dijual itu menepati seleranya.

"Biasanya makanan berharga murah tidak sedap tetapi berlainan dengan 55 menu makanan yang dijual itu kerana semuanya sedap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 10:17 AM