GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Fahd Rahmat


LELAKI ditahan kerana mencuri coli dan beberapa pakaian dari sebuah rumah di Taman Sri Impian di Kluang, hari ini.

Suspek ditangkap ketika cuba meninggalkan pakaian yang dicurinya di sebuah rumah dihuni oleh pegawai tentera, jam 4.30 pagi.

Sebelum ditahan, suspek dipercayai mencuri tujuh coli, tiga kemeja T dan sehelai seluar panjang di sebuah rumah lain di kawasan sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, sebelum kejadian, pegawai tentera berusia 39 tahun itu bersiap untuk bersahur sebelum terdengar bunyi bising dari luar rumah.

“Pegawai tentera itu terkejut apabila mendapati suspek berada di parkir rumahnya.

“Apabila ditanya, lelaki berkenaan mengaku masuk ke perkarangan rumah untuk meletak tujuh coli, tiga baju kemeja T dan sehelai seluar panjang yang dicuri dari kediaman bertentangan rumah pegawai tentera terbabit.

“Pegawai itu kemudian menahan suspek sebelum menghubungi polis,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan polis menjalankan siasatan membawa suspek serta barang rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut.

Katanya, suspek berusia 23 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula tarikh tangkapan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 3:39 PM