LAPORAN portal berita Harian Metro hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro hari ini.
Mohamed Farid Noh


DUA suspek yang membuli dan mencuri telefon pintar serta beg sandang milik seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di padang permainan Taman Sri Kluang, Kluang, petang semalam, disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, hasil ujian dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka mengambil dadah jenis methamphetamine.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek berusia 18 tahun itu positif dadah dan polis turut menyiasat mereka mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta perintah pengawasan polis selama dua tahun.

"Kedua-dua suspek yang ditahan di rumah mereka di Taman Sri Lambak pada 11 malam tadi itu turut disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana samun dan direman empat hari.

"Polis turut merampas semula sebuah telefon bimbit dipercayai milik mangsa samun mereka," katanya dalam satu kenyataan di Kluang, hari ini.

Terdahulu, NSTP melaporkan polis menahan dua suspek yang membuli dan mencuri telefon pintar serta beg sandang milik seorang remaja OKU di padang permainan Taman Sri Kluang, tengah malam tadi.

Video selama 32 saat mengenai kejadian buli berkenaan viral di media sosial sejak mula dimuat naik malam tadi dan antara lain memaparkan salah seorang suspek membuli remaja OKU berkenaan dengan menggunakan sebatang kayu di taman permainan itu.

Berita berkaitan

'Dua ditahan buli, curi telefon bimbit OKU [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 6:09 PM