Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO NSTP
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO NSTP
Badrul Kamal Zakaria


PERGERAKAN sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berharap akan dapat menggunakan semula nama Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya sudah membuat rayuan kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menyemak semula keputusan awal yang dibuat oleh bekas Ketua Pengarah jabatan itu sebelum ini, Surayati Ibrahim.

"Kami percaya wujudnya campur tangan politik sebelum ini dalam keputusannya. Sebelum ini kita lihat Pakatan Harapan pun sudah didaftarkan (diluluskan oleh ROS) dan kami rasa memang patut (untuk menggunakan nama ARMADA).

"Sebab kita memang ikut undang-undang dan keputusan juga sudah dibuat dalam mesyuarat. Kami berharap ARMADA boleh dihidupkan semula untuk masa depan parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Program Sembang Santai dan Bersahur Sambil Menyaksikan Perlawanan Akhir Liga Juara-Juara Eropah di Restoran Norsiah, Muar, awal pagi tadi.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, pihaknya kini sedang menunggu keputusan daripada pihak ROS sama ada dapat menggunakan semula nama ARMADA ini kelak.

"Kita sudah maklumkan sebelum ini dan saya kini sedang menunggu daripada pihak ROS. Kita sudah berkali-kali buat rayuan. Kita tunggu keputusan rasmi nanti," katanya.

Pada 9 November tahun lalu, ROS mendapati sayap pemuda PPBM tidak ada dalam perlembagaan parti itu.

Suryati dilaporkan berkata, justeru penggunaan istilah yang tiada dalam perlembagaan parti adalah kesalahan berat yang membolehkan pendaftaran sesebuah pertubuhan itu dibatalkan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 12:31 PM