Ahmad Hasbi


Seremban: Sajian roti John hanya dijual pada harga RM1. Kedengaran tidak munasabah namun itu harga jualan ditawarkan seorang peniaga Bazar Ramadan McD Lama, Bandar Baru Nilai, di sini, sejak lima tahun lalu.

Harga itu dianggap terlalu murah ketika peniaga di Bazar Ramadan lain meletakkan harga antara RM6 hingga RM10 bagi roti John dijual.

Disebabkan harga murah itu, roti John dijual Mohd Tarmimi Mohd Sharap, 36, diserbu orang ramai yang mulai beratur di hadapan gerainya bermula jam 4 petang sepanjang Ramadan.

Mohd Tarmimi berkata, harga jualan RM1 sememangnya tidak mendapat pulangan keuntungan seperti peniaga lain.

"Namun saya berbuat demikian kerana mahu bersedekah pada bulan mulia ini.

"Saya lakukannya di bazar Ramadan sejak lima tahun lalu. Saya mahu golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim dan asnaf turut sama dapat merasai roti John untuk berbuka puasa.

"Selain roti john RM1, gerai saya turut menjual roti John daging kambing, daging lembu dan ayam yang dijual pada harga antara RM10 hingga RM18. Alhamdulillah berkat sedekah, jualan roti John lain juga amat memberangsangkan," katanya.

Pemilik Western Food MMA Santai Corner dekat Nilai itu berkata, dia menghadkan satu roti John untuk seorang bagi memastikan semua orang mendapatnya.

"Saya akan menyediakan antara 150 hingga 200 roti John RM1 setiap hari. Orang bertanya bagaimana saya mendapat keuntungan dengan menjual roti John RM1 sedangkan kos roti sahaja sudah mencecah RM1. Kuncinya adalah keberkatan.

"Setiap tahun pelanggan yang datang untuk membeli roti John ini bertambah. Malah ada yang datang dari Salak Tinggi, Sepang, Kajang dan Bangi selain negeri lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 3:22 PM