ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi JKKK Taman Desa Anggerik, Abdul Razak Abdullah sempena sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau di DUN Juasseh. FOTO Amran Yahya
ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi JKKK Taman Desa Anggerik, Abdul Razak Abdullah sempena sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau di DUN Juasseh. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


SERAMAI 43 asnaf kategori fakir miskin menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM300 seorang daripada Baitulmal Negeri Sembilan, semalam.

Turut menerima bantuan, 27 masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah dan Juasseh masing-masing menerima RM2,500 bagi menganjurkan program sepanjang Ramadan ini.

Bantuan disampaikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dalam majlis berbuka puasa di Masjid Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin Kariah Tengkek, Kuala Pilah.

Seorang penerima, Zainab Raof, 75, dari Kampung Tengkek, bersyukur menerima bantuan wang tunai yang akan digunakan untuk membeli keperluan hari raya.

“Saya bersyukur kerana di hari pertama Ramadan ini, ada pihak yang sudi membantu kami dalam meringankan beban membuat persediaan hari raya.

“Wang ini akan saya gunakan sebaiknya seperti membeli pakaian serta keperluan hari raya memandangkan saya tidak bekerja,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan.

Turut berangkat hadir Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta diiringi kedua-dua anakandanya, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al' Abidin; Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Kamal Amran dan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh.

Sementara itu, Kamal berkata, sejumlah RM80,000 disumbangkan kepada penerima dan berharap bantuan itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

“Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat membantu golongan asnaf untuk menyambut Ramadan dan Syawal.

“Bagi bantuan masjid pula, kita harap bantuan dimanfaatkan untuk melaksanakan program sepanjang Ramadan seperti tadarus al-Quran, moreh dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 2:26 PM