Pegawai penguatkuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kangar melakukan pemeriksaan ke atas peniaga bazar Ramadan. FOTO Ihsan Jabatan Kesihatan Perlis
Pegawai penguatkuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kangar melakukan pemeriksaan ke atas peniaga bazar Ramadan. FOTO Ihsan Jabatan Kesihatan Perlis
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PEJABAT Kesihatan Daerah Kangar mengeluarkan 81 kompaun bernilai RM109,000 terhadap penjual dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Bersepadu Bazar Ramadan 2017 di 10 Bazar Ramadan di negeri ini bermula awal Ramadan hingga Jumaat lalu

Bazar yang diperiksa adalah di Balai Baharu, Utan Aji, Taman Gasing Jejawi, Padang Besar, Kok Mak, Taman Sena, Bintong, Arau, Pauh dan di hadapan Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perlis Dr Zaini Hussin berkata, kompaun yang dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Katanya, kesalahan yang paling banyak dilakukan ialah peniaga gagal memakai apron ketika mengendalikan makanan.

"Sebanyak 38 kes membabitkan pengendali makanan gagal memakai apron diikuti 19 kes atas kesalahan tiada rekod pemeriksaan kesihatan dan suntikan vaksin.

"Manakala 14 kes lagi direkodkan atas kesalahan pengendali makanan tidak menjaga kebersihan diri termasuk memakai aksesori, selain sembilan kes atas kesalahan pemilik gerai membenarkan pengendali makanan bekerja tanpa suntikan vaksin dan satu kes tiada latihan mengendalikan makanan," katanya dalam kenyataan semalam.

Kata Zaini, kompaun dikeluarkan susulan pemeriksaan terhadap 498 premis bazar yang sudah diperiksa setakat ini.

"Kompaun yang dikenakan perlu dijelaskan dalam tempoh sebulan daripada tarikh dikeluarkan dan sekiranya peniaga gagal menjelaskannya sehingga tarikh tamat, kes akan dibawa ke Mahkamah dan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun," katanya.

Mengulas lanjut katanya, menerusi operasi itu jabatan mengambil 37 sampel makanan berisiko tinggi tercemar dan dihantar ke makmal untuk dianalisa sama ada ia boleh menyebabkan keracunan makanan atau tidak.

#kw Pejabat Kesihatan Kangar, kompaun

#loc 6.4406330000000001, 100.1983709

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2017 @ 1:00 PM