BOT jongkong dikendalikan remaja 18 tahun ditahan APMM kerana disyaki menyeludup lebih 1 tan gula pasir bersubsidi. FOTO Ihsan APMM
BOT jongkong dikendalikan remaja 18 tahun ditahan APMM kerana disyaki menyeludup lebih 1 tan gula pasir bersubsidi. FOTO Ihsan APMM
Abdul Rahemang Taiming


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan remaja lelaki disyaki cuba menyeludup keluar lebih 1,000 kilogram (kg) gula pasir, di Tawau, kelmarin.

Remaja tempatan berumur 18 tahun itu ditahan anggota APMM yang sedang menjalankan Ops Pluto Timur selepas mengesan sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.5 batu nautika dari Sungai Pukol, Pulau Sebatik, pada 5.15 petang.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi), Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, pemeriksaan awal mendapati bot jongkong itu sarat dengan pelbagai muatan barangan runcit termasuk gula bersubsidi.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, remaja berkenaan gagal mengemukakan sebarang permit atau dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan pemilikan gula bersubsidi terbabit.

“Kita percaya, barangan bersubsidi itu cuba diseludup keluar melalui Pulau Sebatik untuk dipasarkan atau dijual di negara jiran Indonesia.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan di Tawau, hari ini.

Mohd Yusri berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot jongkong bersama enjin sangkut dianggarkan hampir RM50,000 dan semua barangan itu dibawa ke Jeti APMM Tawau untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu katanya, APMM akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di laut bagi membanteras dan mengurangkan perlanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

“Orang ramai juga disarankan supaya menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku jenayah maritim menerusi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau Malaysian Emergency Respon System (MERS 999),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 9:04 AM