HADI akan mengadakan  mesyuarat khas dalam tempoh terdekat. FOTO/FAIL
HADI akan mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh terdekat. FOTO/FAIL
Hanneeyzah Bariah Baharin dan Zatul Iffah Zolkiply


PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu kedudukan kerajaan negeri Kedah yang masih tergantung susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat itu akan membincangkan kerjasama bakal dibuat sama ada dengan gabungan pakatan dalam PKR atau Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, buat permulaan PAS akan mengadakan perbincangan dalaman sebelum melanjutkan perbincangan dengan PKR atau BN.

PRU-14 menyaksikan daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan di Kedah, PKR menang 18 kerusi, PAS (15) dan BN (tiga).

“Kita (PAS) menjadi 'king maker' di peringkat negeri dan akan berbincang dalam mesyuarat khusus itu. Kita akan menilai dan Insya-Allah akan jemput pimpinan PAS Pusat dengan seberapa segera untuk bincangkan perkara ini.

"Kita mesti melihat semua pihak bukan sahaja BN, tetapi juga pakatan (PKR). Kita mesti melihat semua pihak dengan keselarasan dasar dan konsep kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai istiadat mengangkat sumpah jawatan dan watikah pelantikan menteri besar baharu serta 10 Exco PAS di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pada istiadat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu ke-15, selepas PAS merampas buat kali ketiga pentadbiran kerajaan negeri daripada BN yang tewas dalam PRU-14.

Keputusan PRU-14 menyebabkan kerajaan negeri Kedah tidak dapat dibentuk sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 2:58 AM