Aizat Sharif

Arau: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau di sini, hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis yang juga Pesuruhjaya PAS negeri itu mengangkat sumpah jawatan itu jam 4.15 petang selepas diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Mohd Shukri, 61 menjadi Menteri Besar pertama dari gabungan PN yang mentadbir Perlis buat julung kalinya sejak merdeka selepas gabungan itu berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Kejayaan itu juga sekali gus menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu yang sudah mentadbir Perlis sejak 65 tahun lalu.

Turut berangkat pada majlis itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalulail berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Mohd Shukri Ramli pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau disini, hari ini. FOTO  LUQMAN HAKIM ZUBIR
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalulail berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Mohd Shukri Ramli pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau disini, hari ini. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari dan barisan Adun Perlis.

Mohd Shukri atau cukup dikenali sebagai Cikgu Shukri mula menjadi ADUN Sanglang selepas menang pada PRU13 dan mempertahankan kerusi berkenaan sehingga kini.

Kariernya dalam politik bermula apabila beliau dilantik menjadi Ketua Penerangan PAS Perlis dan Setiausaha Perhubungan PAS Perlis sebelum diangkat menjadi Pesuruhjaya PAS Perlis dan Pengerusi PN Negeri Perlis malah beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Perlis sebelum ini.

Pada PRU15 Mohd Shukri menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Sharipudin Ahmad, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad (Pakatan Harapan) dan Zainudin Yom dari Parti Warisan Sabah dengan majoriti 3,335 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 4:54 PM