Hanneeyzah Bariah Baharin


SELEPAS secara rasmi menjalin kerjasama dengan UMNO dan MIC, PAS sedia membuka pintu kerjasama dengan seterunya, MCA yang juga satu lagi parti komponen utama dalam Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang berkata, dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini, PAS enggan bersikap jumud dan tidak menolak untuk menjalin kerjasama dengan parti berkenaan, demi kepentingan politik bersama.

“Itu kita tunggu (kerjasama dengan MCA). PAS mempunyai pengalaman yang banyak dan panjang kerana kita bukan sahaja pernah bekerjasama dengan MIC dan UMNO, tetapi terlebih dahulu dengan DAP, PKR dan parti lain.

“Politik ini fleksibel. Kita tak boleh beku atau jumud, apa lagi dalam suasana masyarakat majmuk dan Islam menerima wujudnya masyarakat majmuk.

“Islam itu (membolehkan) orang bukan Islam (terbabit) dalam kerajaan. Ini yang mengejutkan mereka kerana sebelum ini mereka baca mengenai Islam melalui tulisan orang bukan Islam, jadi timbul kekeliruan (mengenai Islam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Kampung Alor Lit, Bukit Payong di Marang, petang hari ini.

Hadi berkata, isu kerjasama PAS dengan MIC yang mula dibincangkan bersama parti itu sejak lima bulan lalu juga akan memperkukuhkan lagi sokongan bukan Islam khususnya kaum India terhadap PAS.

Beliau berkata, kerjasama dengan MIC adalah kejayaan sayap parti iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam mendekati kaum bukan Islam, selepas mereka memahami bahawa pemerintahan Islam, terutama di Terengganu dan Kelantan sama sekali tidak menganiaya kaum bukan Islam.

“Kerjasama dengan MIC ini lebih bersifat perkenalan dengan lebih dekat. Penjelasan kita mendapat respons yang baik dan mereka faham hak beragama itu dijamin oleh Islam dan perlembagaan.

ABDUL Hadi berucap di Majlis Perasmian Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Marang. FOTO Imran Makhzan
ABDUL Hadi berucap di Majlis Perasmian Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Marang. FOTO Imran Makhzan

“MIC ini parti kaum India sama ada untuk yang beragama Islam atau bukan Islam dan ia membela kaum India secara khusus.

“Tetapi, semakin lama makin banyak parti muncul, ada yang pergi ke DAP dan lain-lain, menjadikan mereka berpecah dan bertembung sesama sendiri (dalam pilihan raya).

“Kita melihat MIC sebagai sebuah parti yang mempunyai akar umbi kuat sekali gus membolehkan ia bertahan sehingga kini, berbanding parti lain yang tiada akar umbi dan hanya bergerak atas isu tertentu. Apabila isu itu mati, lemahlah (parti itu),” katanya.

Diminta mengulas mengenai perubahan baharu yang dimaksudkannya menerusi kerjasama PAS-MIC itu, Hadi berkata, ia membabitkan penerimaan kalangan bukan Islam terhadap pemerintahan Islam terutama di negara ini.

“Kadang kala mereka (bukan Islam) tidak boleh terima konsep politik Islam, pemerintahan Islam. Agama satu bab, akidah dan ibadat satu bab, tetapi amalan kemasyarakatan itu sesuatu yang lain.

“Bahkan dalam hukum Islam, kita boleh membabitkan orang bukan Islam dalam pentadbiran negara. Saya sendiri pernah sebut mengenai kerajaan teknokrat yang mana kita boleh ambil orang bukan Islam jadi menteri kabinet,” katanya.

MIC menjadi parti komponen kedua dalam BN selepas UMNO menjalinkan kerjasama politik dengan PAS.

Semalam, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dilaporkan berkata, keputusan itu sekali gus akan memperkukuhkan blok pembangkang khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, 13 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 8:13 PM