KEADAAN gajah jantan yang dirantai pada pokok besar yang tular di media sosial, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN gajah jantan yang dirantai pada pokok besar yang tular di media sosial, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak


SEEKOR gajah liar yang sering merayau di kawasan rawat dan rehat (R&R) Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik berjaya ditangkap dan ditambat di tepi jalan selama beberapa hari sebelum dipindahkan ke habitat lebih sesuai, esok.

Keadaan gajah jantan yang ditambat di pokok besar di laluan berkenaan bagaimanapun menarik perhatian pengguna jalan raya dan video rakaman keadaan gajah berkenaan yang dilihat seperti terseksa akibat pergerakan terbatas susulan kakinya dirantai menjadi tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa berkata, susulan penularan itu pihaknya menjalankan siasatan dan mendapati haiwan liar berkenaan ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“PERHILITAN mengesahkan tentang gajah liar berkenaan yang tular di media sosial dan memaklumkan haiwan itu sering merayau masuk ke R&R Titiwangsa menyebabkan mereka melancarkan operasi tangkapan untuk dipindahkan ke habitat yang lebih sesuai.

“Mereka juga memaklumkan gajah itu ditangkap pada 7 Mei lalu, namun demikian memandangkan faktor muka bumi kawasan tangkapan yang bercerun, gajah terbabit terpaksa ditambat sementara di kawasan yang mempunyai pokok besar di tepi jalan berkenaan.

“Tangkapan gajah liar itu dilaporkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan daripada segi kebajikannya pula pasukan PERHILITAN bersama Pegawai Veterinar ditempatkan di kawasan itu 24 jam bagi memantau kesihatan, keperluan makan, minum serta diet gajah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, PERHILITAN juga mengatakan gajah itu terpaksa dirantai memandangkan ia yang boleh mendatangkan risiko kepada orang awam.

“Gajah itu dirantai kerana keselamatan orang awam menjadi keutamaan memandangkan aliran trafik yang tinggi melalui kawasan berkenaan sempena musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), baru-baru ini .

“Pegawai Veterinar yang bertugas juga sentiasa memeriksa tahap kesihatan dan bahagian kaki gajah yang dirantai bagi mengelakkan kecederaan,” katanya.

Katanya, PERHILITAN sedang mengambil tindakan segera untuk memindahkan gajah itu yang dijangka akan dijalankan oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), esok.

Satu rakaman video berdurasi 26 saat tular memaparkan seekor gajah yang dirantai di tepi jalan berhampiran R&R Titiwangsa.

Berita berkaitan

Gajah 'meronda' di R&R

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 10:18 PM