AHMAD Zahid  (dua dari kanan) diiringi  Mohamed Khaled  (kiri) melawat tapak pameran pada Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Dewan Muafakat Rengit, Batu Pahat, semalam.
AHMAD Zahid (dua dari kanan) diiringi Mohamed Khaled (kiri) melawat tapak pameran pada Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Dewan Muafakat Rengit, Batu Pahat, semalam.
Mohd Sabran Md Sani

Batu Pahat: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang kecewa selepas tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya kembali semula kepada parti sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini.

Beliau berkata, jika ada titik bengik atau berbeza pendapat, ia perlu diketepikan walaupun usaha itu agak mustahil dilaksanakan pada saat-saat akhir.

“Kita hebat bukan kerana diri kita sendiri, kita hebat kerana parti dan sokongan serta dokongan rakyat dan Insya-Allah selamat.

“Kita hormati siapa saja yang menjadi pemimpin kita dan balik ke pangkal jalan, malah kepemimpinan utama negara sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk mereka ini kembali ke pangkal jalan sebelum 28 April ini (tarikh penamaan calon), ” katanya ketika berucap dalam Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Dewan Muafakat Rengit di Dewan Haji Hashim Kampung Parit Tengah, Rengit di sini, semalam.

Ketibaan Ahmad Zahid disertai Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin disambut paluan kompang, tarian singa dan gendang India.

Beliau berkata, setiap pemimpin perlu membuktikan prinsip wala’ yang sebelum ini sentiasa diberikan keutamaan pemimpin parti termasuk soal pemilihan calon.

“Bagi saya, kalau kita wala’ apa yang diputuskan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dimuktamadkan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN tentu ada rasional dan sandaran mengapa seseorang itu dipilih.

“Terimalah kalau kita benar-benar wala’, maka itulah Haliza Abdullah (calon Parlimen Batu Pahat) dipilih sebagai calon mewakili BN untuk Parlimen Batu Pahat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan peribadi mana-mana calon, sebaliknya mahu mereka turun padang.

“Macam (seperti) Johor kerana kita bukan saja hormat Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar), malah kepemimpinan Johor yang mahu membawa Johor sebagai sebuah negeri berkemajuan,” katanya.

“Kita mahukan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor menang besar kerana kita mahu sumbangkan kekuatan pembentukan kerajaan negeri Johor dan sebab itu kita mencari calon BN berpotensi menang,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian secara bebas bukan meletakkan siapa pemimpin dikehendaki, tetapi siapa rakyat kehendaki.

“Kalau saya rasa diri saya patut menang dan patut bertanding, itu kajian syok sendiri.

“Begitu juga dengan Haliza yang diletakkan sebagai calon Parlimen Batu Pahat, ada orang kata kenapa pilih Ketua Wanita UMNO Batu Pahat yang tidak turun pun, itu orang kata,” katanya.

Katanya, beliau yakin atas kepemimpinan Menteri Besar dan BN Batu Pahat akan memastikan BN merampas kembali kerusi Parlimen Batu Pahat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 3:59 AM