DARI kiri, Mahfar, Abdul Jalil, Ahmad Zahid dan Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Zakaria Abd Wahab (dua dari kanan).
DARI kiri, Mahfar, Abdul Jalil, Ahmad Zahid dan Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Zakaria Abd Wahab (dua dari kanan).
Nasharuddin MuhammadHairulazim MahmudMohd Nasif Badruddin dan Siti Fatimah Hassan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Semua ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri perlu melupakan segala sengketa dan perebutan jawatan dalam parti, sebaliknya perlu merapatkan barisan bagi menjamin kejayaan yang lebih besar iaitu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli ketiga-tiga sayap itu perlu memfokuskan kepada kekuatan bagi menarik lebih banyak sokongan dan keyakinan rakyat kepada parti bagi menghadapi perang yang lebih besar.

“Untuk menjadikan UMNO kuat selama-lamanya, sifat setia atau wala’ seharusnya menjadi pegangan setiap ahli biar apa sekalipun cercaan dan tohmahan dilemparkan kepada Presiden (Datuk Seri Najib Razak), ia tidak sedikit pun mampu menggugat rasa setia saya kepada beliau.

“Ahli UMNO perlu menghindari golongan munafik, mereka yang sifatnya apabila berkata akan berdusta, apabila berjanji mereka akan ingkari dan apabila diberi kepercayaan, mereka mengkhianatinya,” katanya yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO ketika berucap merasmikan serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Turut hadir, ketua sayap parti, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ahmad Zahid juga memberi jaminan akan memastikan lebih ramai lagi calon daripada ketiga-tiga sayap berkenaan ditampilkan pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, beliau memberikan syarat bahawa semua pemimpin dan ahli ketiga-tiga sayap berkenaan perlu membuktikan kerja keras mereka serta terus bersemangat menjulang keperkasaan melalui kekuatan jentera dalaman parti.

“Pada PRU-14 nanti, saya sendiri akan membisikkan dan membisikkan lagi kepada Presiden kita (Datuk Seri Najib Razak) untuk menambah bilangan calon-calon dalam kalangan tokoh-tokoh yang berada dalam ketiga-tiga pergerakan sayap,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan prestasi pada PRU-13 yang lalu, seramai 33 calon mewakili Wanita, Pemuda (26) dan Puteri (lapan) berjaya menjadi wakil rakyat sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 7:55 AM