FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Alias Abd Rani

Batu Pahat: Umno Johor masih berteka-teki sama ada mahu meletakkan calon atau pun memberi laluan kepada rakan pakatannya, Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, bulan depan.

Ketika ini belum ada keputusan muktamad dibuat walaupun kedua-dua kerusi terbabit dimiliki Amanah yang juga gabungan dalam Pakatan Harapan (PH).

Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram (sebelum ini dikenali Sungai Abong), kedua-dua ditandingi Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun lalu namun tewas.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pimpinan parti peringkat negeri belum membuat sebarang keputusan dan menyerahkan kepada Umno pusat.

"Terserah kepada Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk menentukan langkah seterusnya demi kepentingan Kerajaan Perpaduan.

"Kami (Umno Johor) akur apa saja keputusan dibuat pucuk pimpinan tertinggi," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Barisan Nasional (BN) khususnya Umno akan akur siapa saja calon daripada Kerajaan Perpaduan.

Katanya, fokus utama Umno Johor ialah memberi tumpuan kepada kemenangan calon kerajaan perpaduan dalam kedua-dua pilihan raya terbabit.

"Kita serah kepada kepimpinan atasan membuat rundingan dan kami akur siapa pun menjadi calon," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 September depan sebagai hari pengundian manakala penamaan calon pada 26 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 3:55 PM