AHMAD Maslan. FOTO arkib NSTP
AHMAD Maslan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Pontian: Umno hari ini mengesahkan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa antara tiga pemimpin parti itu yang dipecat keahliannya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, malam tadi.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MKT Umno menerusi fasal 10.6 Perlembagaan parti mempunyai hak untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.

Katanya, ia termasuk jika seseorang ahli Umno itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.

"Dua lagi ahli Umno yang dilucutkan keahlian mereka ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua Umno bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita Umno Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

"Pemecatan mereka berkuat kuasa serta-merta dengan surat rasmi perlucutan keahlian akan dihantar hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Khatan Perdana Masjid Kampung Jawa Ulu, di sini, hari ini.

Pagi tadi, media yang memetik sumber melaporkan Annuar, Shamsiah dan Fatimah antara tiga pemimpin Umno yang dipecat keahliannya selepas diputuskan Mesyuarat MKT parti malam tadi.

Shamsiah dan Fatimah bulan lalu dilaporkan digantung sementara seluruh jawatannya selepas didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sementara, Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, hal pemecatan itu dilaporkan dimaklumkan Ahli MKT, Datuk Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato' Onn di sini, selepas mesyuarat selesai.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 12:07 PM