Hishamuddin disambut oleh jentera BN di Rumah Komuniti Umno Bahagian Sembrong, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Hishamuddin disambut oleh jentera BN di Rumah Komuniti Umno Bahagian Sembrong, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Mohamed Farid Noh

“PARTI akan tahu juga siapa pengkhianat serta penderhaka,” tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Itu amaran beliau kepada pemimpin atau ahli Barisan Nasional (BN) yang tidak terpilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau mengingatkan pihak terbabit supaya tidak sesekali mengkhianati serta menderhaka perjuangan parti mencapai kemenangan.

Katanya, tindakan mensabotaj parti bukan hanya menjejaskan peluang kemenangan BN malah menghancurkan keutuhan parti yang sekian lama bertahan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri berkata, setiap kali musim PRU sememangnya sama ada dicalonkan atau tidak, antara yang paling ditunggu-tunggu dan menjadi persoalan semua pemimpin serta ahlinya.

“Kita sudah berazam, letaklah siapa saja, BN akan sokong sepenuh hati walau siapa pun calon diputuskan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak ada maknanya jika kita lakukan sesuatu yang menjejaskan parti hanya semata-mata nama tidak menjadi calon dalam PRU ini.

“Inilah masanya parti menguji kesetiaan ahli dan pemimpin. Parti akan tahu juga siapa pengkhianat serta penderhaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN)Parlimen Sembrong di Taman Seri Lambak, dekat Kluang, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang R Vidyananthan, ADUN Paloh Teoh Yap Kun dan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Sembrong Datuk Abd Ghani Abd Rashid.

Ditanya mengenai persiapan BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, parti berkenaan bukan sahaja sudah bersedia sepenuhnya malah sudah membuat persiapan sejak sekian lama.

Katanya, ia termasuklah persiapan lebih terperinci dan konsisten membabitkan gerak kerja jentera parti.

“Mungkin ada sedikit sana sini jentera yang perlu diperkemaskan lagi namun BN sudah bersedia untuk memalu gendang perang.

“Mengenai calon pula,biarlah Pengerusi BN yang mengumumkannya nanti berikutan ia adalah hak muklaknya membuat pilihan muktamad, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 9:05 PM