Ibrahim Isa


DUA remaja lelaki yang membuli lelaki orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran yang kemudian tular di laman sosial baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang atas dua pertuduhan mencederakan dan mencuri, hari ini.

Kedua-dua remaja lelaki berusia 18 tahun itu bagaimanapun didakwa dalam mahkamah tertutup kerana masih di bawah umur.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Nor Akmal Mohamad, 20, di Taman Permainan Kanak-kanak Jalan 5/1, Taman Sri Kluang, pada 4 petang, 9 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencederakan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencuri beg sandang milik mangsa, mengandungi telefon bimbit jenama Samsung J2 dan wang tunai RM20, dalam kejadian pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 KK kerana mencuri dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohamad Afiq Zubar. manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Majistret N Arun kemudian menetapkan 25 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 seorang.

Kedua-dua tertuduh ditahan di Taman Gunung Lambak pada 11 malam, 13 Mac lalu, selepas polis menerima laporan daripada bapa mangsa.

Hasil ujian saringan air kencing, kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.

Video buli yang tersebar di Facebook dan Whatsapp ditonton bapa mangsa sebelum membuat laporan polis.

Berita berkaitan:

Dua ditahan buli, curi telefon bimbit OKU [METROTV]

[UPDATE] Remaja buli, curi telefon OKU rupanya penagih

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 4:24 PM
DUA remaja (kanan dan dua dari kiri ) yang terbabit dalam kes buli dan samun seorang OKU baru-baru ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
DUA remaja (kanan dan dua dari kiri ) yang terbabit dalam kes buli dan samun seorang OKU baru-baru ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang. FOTO Adnan Ibrahim