ORANG ramai tidak melepaskan peluang melihat pokok pisang embun memiliki lapan jantung di Kampung Gentam, Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya
ORANG ramai tidak melepaskan peluang melihat pokok pisang embun memiliki lapan jantung di Kampung Gentam, Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


POKOK pisang embun milik seorang penduduk Kampung Gentam, Kuala Pilah menjadi tumpuan orang ramai kerana kelainannya mengeluarkan lapan tandan serta lapan jantung.

Pemiliknya, Leow Chun Hong, 48, berkata dia menyedari kelainan pada pokok pisang yang ditanam di belakang rumahnya itu pada dua minggu lalu.

Menurutnya, kelainan pokok pisang yang ditanam sejak dua tahun lalu itu menarik perhatian masyarakat setempat yang tidak putus-putus datang ke rumahnya untuk melihat keadaannya.

“€œSebenarnya pokok pisang ini sudah tiga kali berbuah. Kali pertama ia berbuah seperti biasa, tetapi kali kedua dan ketiga ia berbuah dengan mempunyai dua jantung,” katanya.

Menurut Leow, yang anehnya tandan pokok pisang itu keluar di tengah batang pokok sedangkan kebiasaannya ia keluar di bahagian pucuk.

“Saya menganggarkan ada hampir 100 biji pisang daripada semua tandan. Ada beberapa penduduk sudah menempah untuk membelinya, namun saya tidak berniat menjualnya.

“Saya tidak berhasrat menebang atau mengambil buahnya, sebaliknya membiarkan dan lihat apa akan terjadi selepas ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 5:49 PM