ZULKIFLI memeriksa buah kurma jenis Ajwa yang hampir masak di kediamannya di Kampung Alor Hijau, Pasir Puteh.
ZULKIFLI memeriksa buah kurma jenis Ajwa yang hampir masak di kediamannya di Kampung Alor Hijau, Pasir Puteh.
BERNAMA

Pasir Puteh: Percubaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selising Zulkifli Ali menanam 10pokok kurma jenis Ajwa sejak empat tahun lalu ternyata berbaloi apabila satu daripada pokok itu mula mengeluarkan hasil.

Lebih menarik, tempoh buah kurma itu dihasilkan sama seperti perkembangan pokok kurma di Madinah, ketika ini.

Bercakap kepada Bernama, Zulkifli, 54, berkata, benih pokok kurma itu dibeli dari Rantau Panjang sebelum disemai sebagai hiasan di halaman rumahnya.

"Pada tahun pertama dan kedua pokok ada mengeluarkan buah namun kesemuanya gugur. Tahun ini hasilnya lebih baik apabila lapan tandan daripada satu pokok kurma sedang berbuah dan sudah hampir boleh dituai.

"Kali ini juga saya mendapati proses pengeluaran buahnya selaras dengan perkembangan pokok kurma di Madinah yang juga sedang mengeluarkan buah dan hampir masak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Alor Hijau di sini, semalam.

Tinjauan mendapati pokok kurma berbuah lebat itu turut menarik perhatian penduduk setempat.

Bercerita lanjut, Zulkifli berkata, berdasarkan pengalamannya, beliau berpendapat pokok kurma boleh dikomersialkan di negara ini jika diberi penjagaan rapi seperti pembajaan yang cukup.

"Cuaca panas terik sangat sesuai bagi membantu proses mengeluarkan buah dan mengekalkan kualiti asalnya yang rangup dan manis.

"Hasil yang diperoleh tahun ini turut menyangkal pendapat bahawa pokok kurma tidak sesuai ditanam di negara ini," katanya.

Zulkifli berkata, apabila boleh dituai nanti, beliau bercadang menyedekahkan buah kurma berkenaan kepada penduduk setempat.

"Selebihnya, saya akan menyemainya untuk dijadikan benih bagi memperluaskan tanaman itu, terutama kepada penduduk di sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 7:01 AM