Pelajar UIAM Kuantan, Siti Nurfazilah Jamil memetik buah kurma di pekarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.
Pelajar UIAM Kuantan, Siti Nurfazilah Jamil memetik buah kurma di pekarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.
Shahrinnahar Latib

Kuantan: “Pokok yang dulu hanya berbuah di negara Arab, kini lebat di daerah ini,” kata Ahmad Sabri Mohamed, 50, mengenai dua pokok kurma yang berbuah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Indera Mahkota, di sini.

Pemandu Grab itu berkata, dia menyedari pokok kurma berbuah lebat itu ketika ingin menunaikan solat Zuhur di masjid berkenaan, Khamis lalu.

“Saya perasan dua daripada pokok kurma yang ditanam berbuah. Saya pun ada tanam pokok kurma di rumah, tetapi tidak pernah berbuah. Ini kali pertama saya lihat buah kurma segar terus daripada pokok.

“Agak mengejutkan kerana umum mengetahui tanaman ini hanya ada di negara Arab, namun kini ia subur di Pahang, malah mengeluarkan buah yang lebat,” katanya di sini, semalam.

Ahmad Sabri memaklumkan dia diberitahu tukang cuci di masjid berkenaan ada lapan pokok kurma di situ, namun hanya dua saja yang berbuah.

“Malah, tukang cuci itu menyatakan pokok berkenaan ditanam sejak tujuh tahun lalu dan ini adalah kali pertama ia berbuah,” katanya.

Katanya, dia kagum dengan kebesaran Allah SWT dan berharap ia menarik perhatian ramai untuk melihat sendiri pokok kurma subur di Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 3:43 AM