DATUK Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika sidang media. FOTO Saddam Yusoff
DATUK Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika sidang media. FOTO Saddam Yusoff
Sri Ayu Kartika Amri


"ITU bukan bazar Ramadan dan kita memang tidak benarkan langsung (bazar Ramadan) beroperasi," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika ditanya mengenai video tular memaparkan orang ramai mengerumuni gerai makanan dilihat seperti bazar Ramadan di Kampung Pandan, baru-baru ini.

Video berdurasi 13 saat itu menunjukkan gerai menjual makanan dibuka di tepi jalan di kawasan itu dipenuhi pengunjung yang tidak mematuhi penjarakan sosial.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

"Kami dapati ia bukan bazar Ramadan dan perkara ini sama juga seperti yang berlaku di Wangsa Melawati.

"Namun, kami kesal pengunjung dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mereka seharusnya peka terhadap keselamatan sendiri," katanya yang ditemui di program memetik buah kurma di Masjid India di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, DBKL sudah memberitahu pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.

"Sekarang ini, kita lihat cara untuk mengawal lebih kepada penguatkuasaan dan DBKL ke arah itu," katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan pokok kurma yang pertama kali berbuah di Kuala Lumpur itu, Nor Hisham berkata, DBKL akan melaksanakan penambahbaikan bagi memastikan lebih banyak pokok kurma berbuah.

"Pokok kurma yang ditanam adalah sebahagian inisiatif mencantikkan kawasan sekitar Kuala Lumpur dan kita juga tidak menyangka ada pokok yang berbuah.

"Ini membuktikan jika kita menjaga betul-betul pokok ini, ia boleh berbuah. Oleh itu, kami akan mencari baja tertentu," katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 10 pokok kurma ditanam sekitar Masjid India dan tujuh di Masjid Jamek sejak empat tahun lalu.

Uniknya, hanya satu pokok yang berbuah iaitu berhampiran Wisma Yakin dan sehingga kini ia menjadi tarikan pengunjung yang datang ke Masjid India.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 1:57 PM