KEKABU dan biji kekabu.
KEKABU dan biji kekabu.
myMetro

Pokok kekabu satu ketika dulu begitu penting dalam masyarakat kita kerana menjadi gentian untuk menghasilkan tilam dan bantal.

Nama botani bagi pokok ini adalah Ceiba pentandra dan tergolong dalam famili Bombacaceae.

Ia berasal dari bahagian tropika benua Amerika dan tidak tumbuh liar di negara ini.

Bagaimanapun, pokok ini banyak ditanam di India, Myanmar, China, Indochina dan hampir semua negara di Asia Tenggara.

Pada masa penjajahan Belanda, pokok kekabu ditanam dalam barisan di tepi jalan dan dijadikan sebagai tiang untuk talian telefon.

Bunganya berukuran empat sentimeter (sm) lebar, berwarna putih kekuningan, mempunyai bentuk yang menarik dan dihasilkan dalam jambak pada hujung ranting. Ia kembang kira-kira 20 minit.

Sementara itu, buahnya sejenis buah pepisang. Warna buahnya hijau ketika muda dan berubah menjadi perang hingga hitam apabila masak selain merekah dari pangkal pucuk.

Daunnya pula tumbuh rapat pada hujung ranting dan gugur serentak.

Kualiti kekabu bergantung kepada cara dan proses mengasingkannya daripada biji dan empulur.

Kekabu sering digunakan untuk membuat tilam, bantal dan kusyen. Kekabu juga disebut sebagai kapuk.

Bantal atau tilam yang disi dengan kekabu mampu bertahan hingga 20 tahun, tetapi ia perlu dijauhkan daripada air dan dijemur dan dipukul dengan pemukul rotan bagi menyingkir debu kekabu yang hancur.

Namun generasi hari ini lebih selesa menggunakan bantal atau tilam kapas kerana mudah didapati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 4:48 AM