Antara mat rempit yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Antara mat rempit yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim

TUNJUK lagak samseng di balai polis selepas adik ditahan kerana merempit.

Itu tindakan luar batasan seorang lelaki berusia 25 tahun di Balai Polis Senawang di Seremban, hari ini, kerana dipercayai tidak puas hati apabila adik lelakinya yang berusia 24 tahun, ditahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Plaza Tol Senawang.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi tadi, lelaki terbabit yang dimaklumkan mengenai penahanan adiknya muncul di balai polis berkenaan dan mengamuk sebaik mendapati adiknya digari kerana dipercayai melakukan kesalahan menunggang secara melulu.

Difahamkan, anggota polis cuba menjelaskan mengenai tindakan polis menahan adiknya itu, namun dia dikatakan berang lalu bertindak agresif dan membuat provokasi termasuk menolak anggota polis terbabit.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Menurutnya, adik lelaki itu antara 23 penunggang berusia 15 hingga 25 tahun yang ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk dua ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah.

"Sebelum itu, polis yang melakukan risikan melihat kumpulan mat rempit menunggang secara melulu dan melakukan aksi berbahaya sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) bermula dari Plaza Tol Labu sehingga ke Plaza Tol Senawang.

"Polis kemudian melakukan sekatan di Plaza Tol Senawang pada jam 3.30 pagi dan berjaya menahan 130 penunggang serta pembonceng untuk pemeriksaan. Namun, hanya 24 orang ditahan untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, operasi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) itu membabitkan kekuatan 20 pegawai serta 131 anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 5:28 PM