KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan BOMBA
KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan BOMBA
Mohd Roji Kawi


TIGA termasuk dua kanak-kanak maut apabila kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan dua lori di Jalan Selepong Maleh, Sri Aman di sini, hari ini.

Tiga lagi mangsa dalam kereta Proton Saga itu termasuk seorang bayi turut dilaporkan cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kereta yang dinaiki enam mangsa dipercayai sekeluarga tersepit antara lori membawa muatan batu dan trak tunda.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.12 petang.

Beliau berkata, sebuah jentera dengan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Sri Aman) dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati sebuah kereta remuk teruk dan tersepit antara sebuah trak tunda dan lori.

“Terdapat enam mangsa tersepit di dalam kereta berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

ANGGOTA Bomba sedang mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan BOMBA
ANGGOTA Bomba sedang mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan BOMBA

Ling Hii berkata, anggota bomba terpaksa meminta bantuan jentolak syarikat pembinaan lebuh raya Pan Borneo untuk mengalihkan trak tunda yang menghimpit kereta terbabit.

Katanya lagi, anggotanya menggunakan ‘rescue tool’ untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.

“Selepas berjaya dikeluarkan, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian iaitu seorang wanita warga emas serta dua kanak-kanak berusia empat dan 12 tahun.

“Tiga lagi mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang bayi pula cedera parah,” katanya sambil memaklumkan identiti semua mangsa masih belum diperolehi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 7:47 PM