Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan apabila diseret sebuah kenderaan sejauh hampir 40 meter berdasarkan kesan tayar pada permukaan jalan.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, mangsa, Sulaiman Md Sali, 54, menjadi mangsa langgar lari di Kilometer 8.8, Lebuh raya Sungai Besi (BESRAYA) menghala ke Sungai Besi di sini.

Difahamkan mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pangsapuri Putra Ria, Jalan Bangsar, di sini, mahu membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah kenderaan.

Mangsa terjatuh dan diseret menyebabkan kecederaan parah di kepala.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, kemalangan berlaku di lorong paling kanan lebuh raya iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi pusingan U dilakukan mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa dirempuh sebuah kenderaan yang belum dapat dikenal pasti.

“Bagaimana pun siasatan lanjut dijalankan berdasarkan beberapa bukti lain ditemui di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, pihak polis meminta saksi kejadian atau mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 7:18 AM