AHMAD Bashah (kiri) dan barisan EXCO  hadir pada Malam Kedah Berselawat di Medan Raja Alor Setar, semalam.
AHMAD Bashah (kiri) dan barisan EXCO hadir pada Malam Kedah Berselawat di Medan Raja Alor Setar, semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi dan Noorazura Abdul Rahman dan Suzalina Halid

Alor Setar: Kira-kira 10,000 menghadiri program kerohanian Malam Kedah Berselawat sempena Ekspo Muafakat Kedah di Medan Raja Alor Setar, semalam.

Program itu turut menampilkan penceramah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias yang memberikan tazkirah Muafakat Membawa Berkat selama 45 minit sebelum program selawat bermula jam 10.15 malam. Kumpulan nasyid Rabbani memimpin program selawat itu yang berakhir jam 11.30 malam.

Bagi Umi Raudhah Zaini, 22, program seperti itu bagus bagi memberi kesedaran mengenai keindahan Islam.

“Islam agama yang sangat indah dan dibenarkan berhibur tetapi dengan cara yang betul. Berselawat dan berzikir merupakan antara hiburan dalam Islam,” kata mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS) ini.

Bagi Siti Aisyah Jamaluddin, 26, dari Kuala Ketil, Baling, program itu sangat baik kerana mampu mengeratkan hubungan sesama Islam.

“Ribuan orang yang hadir membuktikan ukhuwah saudara sesama Islam sangat utuh. Saya bangga menjadi rakyat Kedah apabila melihat lautan manusia memenuhi dataran ini,” katanya.

Ketua Urusetia Program Malam Kedah Berselawat, Syeikh Radzi Abdul Mutalib bersyukur sambutan program ini sangat baik walaupun dilakukan di luar pekarangan Stadium Darul Aman.

Kebanyakan yang hadir adalah golongan belia. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta barisan EXCO dan pegawai kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 4:56 AM