Tindakan spontan Hazamin (tengah) bersama Rahim berselawat tular mencecah lebih sejuta tontonan di FB. FOTO Inteam
Tindakan spontan Hazamin (tengah) bersama Rahim berselawat tular mencecah lebih sejuta tontonan di FB. FOTO Inteam
Ridzuan Abdul Rahman


ANGGOTA kumpulan nasyid Inteam, Muhammad Hazamin Harun dan Abdul Rahim Osman tidak menyangka tindakan spontan mereka berselawat ke atas Nabi pada aras 30,000 kaki (9,100m) di udara menjadi tular di media sosial sehingga mencecah lebih sejuta tontonan di Facebook (Fb).

Kejadian itu berlaku ketika penerbangan Air Asia X membawa 400 jemaah menuju ke Madinah pada hujung Februari lalu.

Hazamin berkata, situasi berlaku secara tidak dirancang ketika mereka berdua bertugas sebagai wakil mutawif (pembimbing) jemaah umrah sebuah syarikat pengurusan umrah.

"Kami sedang mengadakan mesyuarat kecil sesama mutawif berkenaan perancangan setibanya di bumi Madinah. Kebetulan seorang pramugara pesawat mengenali kami dan meminta menyanyikan sebuah lagu menerusi talian corong khas dalam kapal terbang untuk penumpang.

"Permintaannya kami sambut baik tetapi untuk menyanyikan lagu Inteam waktu itu seperti kurang sesuai. Kebetulan kami pun menghampiri Madinah, eloklah kami berselawat," katanya kepada Harian Metro.

Penumpang menaiki penerbangan menuju ke Madinah ketika itu bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi ada juga dari Indonesia dan Singapura.

Rahim mengakui tidak menyangka aksi mereka dirakam dalam bentuk video dan menjadi tular di laman sosial.

"Antara faktor menjadikan video itu tular ialah mungkin kerana ibadah umrah itu sendiri amat dekat dengan umat Islam.

Pelbagai komen diterima menyatakan mereka mengimbau kembali kenangan pertama kali menaiki kapal terbang untuk mengerjakan umrah.

"Namun bagi pihak kami, ia merupakan sesuatu yang di luar kawalan dan bersifat rezeki,”€ katanya.

Hazamin berpengalaman bertugas sebagai mutawif sebanyak lima kali manakala Rahim pertama kali menggalas tanggungjawab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 11:51 AM