Faliq Lajim


HUJAN tidak menghalang lebih 1,000 orang hadir berselawat di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, sempena sambutan Tahun Baharu 2019.

Sambutan di bandar raya ini disambut dengan gema bacaan selawat berbanding acara percikan bunga api dan persembahan artis tempatan seperti kebiasaannya.

Tinjauan mendapati kawasan itu dipenuhi pengunjung yang menunggu detik 12 malam biarpun hujan bermula 9.30 malam tadi.

Bacaan selawat itu diketuai pendakwah terkenal Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid itu sebagai tanda kesyukuran kerana diberi rahmat oleh Allah SWT untuk melangkah ke tahun 2019.

Program Selangor Berselawat 2019 itu turut membabitkan kumpulan qasidah, Nur Ahli Badar dan artis tempatan, Lah Ahmad.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Sementara itu, Amirudin ketika berucap berkata, program berkenaan perlu dijadikan medium dan platform untuk membawa komuniti warga Selangor hadir bersama menyambut ambang 2019 dengan aktiviti yang lebih bermanfaat.

“Hargai persaudaraan sesama kita dan jangan runtuhkannya. Jadilah kita berperanan membangunkan umat Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 11:39 PM