Abang Johari ketika pelancaran Keluarga Malaysia. FOTO Bernama
Abang Johari ketika pelancaran Keluarga Malaysia. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: Usaha Sarawak untuk menuntut semula hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus dihormati dan difahami oleh rakyat Malaysia di negeri lain.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, perjuangan kerajaan negeri itu bukanlah untuk kepentingan Sarawak semata-mata.

Sebaliknya, menurut beliau, ia harus dilihat sebagai langkah untuk memperkukuhkan jati diri warga Sarawak sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang besar.

"Kami di Sarawak amat berharap sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) usaha kami untuk supaya memastikan semangat, hak dan keistimewaan Sarawak dan Sabah dalam konteks MA63 dihormati dan difahami," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia Peringkat Nasional yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.

Abang Johari berkata, beliau amat berharap pendekatan Keluarga Malaysia dapat melihat perbezaan yang ketara khususnya dalam aspek pembangunan di wilayah Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung.

Menurutnya, tanpa menafikan Kerajaan Persekutuan sudah melaksanakan pelbagai program pembangunan di Sarawak termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo.

Bagaimanapun, apa yang sudah dilaksana itu belum mencukupi untuk memastikan Sarawak mampu mengejar tahap pembangunan seperti di Semenanjung.

"Sebagai ketua kerajaan Sarawak, saya melihat bahawa kaedah yang berbeza haruslah direncanakan untuk mengangkat status ekonomi di Sarawak kerana fundamental ekonomi negeri ini

agak berbeza dengan Semenanjung.

"Saya amat berharap pendekatan Keluarga Malaysia ini dapat melihat perbezaan yang ada dan merancangkan dasar-dasar pembangunan yang sesuai dengan keadaan di Sarawak dan Sabah supaya wilayah-wilayah ini lebih cepat maju mengikut jejak langkah Semenanjung," katanya.

Menurutnya, sebagai ahli dalam keluarga yang besar, beliau percaya kemampuan untuk mendengar keluh kesah ahli keluarga lain penting untuk memastikan suasana keluarga itu terus kekal mesra dan muhibbah.

"Justeru, saya menganggap persetujuan Perdana Menteri untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya selari dengan semangat MA63 dan keistimewaan Sarawak dan Sabah, adalah suatu permulaan yang amat baik untuk mendengar dan menimbangkan permintaan ahli keluarga Malaysia kita dari wilayah ini.

"Terima kasih Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri dan semoga pindaan itu nanti berjaya dibentangkan di Parlimen dan akan mendapat sokongan semua Ahli Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 10:12 PM