ANGGOTA APM mengambil masa 10 minit untuk menangkap ular sawa batik yang berselindung di batang kayu. FOTO Ramli Ibrahim
ANGGOTA APM mengambil masa 10 minit untuk menangkap ular sawa batik yang berselindung di batang kayu. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


SURI rumah nyaris dibelit ular sawa batik yang berselindung di bawah kayu berhampiran rumahnya di Kampung Baru, Gua Musang, semalam.

Dalam kejadian 4.50 petang itu, Siti Nur Baizura Zakaria, 29, diserang ular ketika hendak mengalihkan kayu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau sempat mempertahankan diri dengan sebatang kayu sebelum memaklumkan kejadian kepada jiran.

Katanya, ular sawa itu dipercayai berada di sebalik kayu berkenaan sejak seminggu lalu dan pernah membaham beberapa ekor ayam miliknya.

"Saya tak sangka sebatang kayu itu menjadi tempat berselindung ular sawa batik dan saya terkejut dengan kejadian berkenaan. Sebelum saya hendak mengalihkan kayu, saya mendengar bunyi yang pelik sebelum melihat ular terbabit.

"Ini kali pertama sepanjang hidup saya berdepan ular sawa dan bersyukur saya masih panjang umur dan tidak menjadi mangsa ular itu. Lokasi ini juga tempat anak saya bermain setiap petang," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd Yusalmi Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima pangilan berhubung perkara itu pada 5.05 petang.

Katanya, tiga anggota bergegas ke lokasi dan berjaya menangkap ular sawa batik seberat 20 kilogram dan sepanjang dan tiga meter dalam masa 10 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 11:31 AM