ANGGOTA APM menangkap ular sawa batik yang membaham empat ayam. FOTO Ramli Ibrahim
ANGGOTA APM menangkap ular sawa batik yang membaham empat ayam. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


ULAR sawa batik yang membaham empat ayam berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam reban di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang, hari ini.

Kejadian disedari 7.30 pagi tadi selepas pemilik reban ayam, Nik Ibrahim Nik Kob, 53, melihat ular sawa di bahagian bumbung reban.

Katanya, ular berkenaan kekenyangan selepas membaham ayam peliharaannya.

"Saya menyedari ada ular sawa dalam reban selepas terdengar bunyi bising ayam sejak awal pagi sebelum memeriksanya.

"Saya memelihara 20 ayam kampung dalam reban dan berkurangan empat ekor apabila dibaham ular berkenaan," katanya.

Nik Ibrahim berkata, kejadian itu adalah kali pertama berlaku sejak dia memelihara ayam 10 tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai APM Gua Musang, Mohd Yusalmi Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.40 pagi.

Katanya, tiga anggota bergegas ke lokasi dan sebaik sampai pihaknya mendapati ular sawa batik itu masih berada dalam reban.

"Kita berjaya menangkap ular sawa batik seberat 20 kg dan panjang empat meter dalam masa empat minit.

"Ini adalah tangkapan ular sawa yang ke-40 tahun ini dan ia diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 12:43 PM