BAS  elektrik  yang akan beroperasi di kawasan kampus menggunakan pengecas pantas 20 minit dengan kapasiti perjalanan 88 kilometer.
BAS elektrik yang akan beroperasi di kawasan kampus menggunakan pengecas pantas 20 minit dengan kapasiti perjalanan 88 kilometer.
Omar Ahmad

Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini, menjadi universiti pertama di negara ini menggunakan bas elektrik di kawasan kampusnya untuk menjaga alam sekitar, meminimumkan pelepasan gas karbon dioksida dan mengurangkan kesan bunyi.

Ketua Gerak Kerja Bas Elektrik UTM Professor Dr Abd Latif Saleh berkata, bas itu adalah hasil usahasama antara UTM, CMS Consortium Ecotour Sdn Bhd (COMOS), Mara Liner Sdn Bhd (Maraliner) dan Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (Go Auto) selaku pengedar eksklusif bas elektrik di Asia Tenggara.

Menurutnya, projek itu adalah perintis bagi tujuan latihan dan penyelidikan ke arah teknologi kenderaan elektrik, sekali gus menjadikan kampus rendah karbon.

“Ini adalah bas elektrik pertama yang digunakan di universiti di Malaysia dan mempunyai stesen pengecasan terpantas di negara ini.

“Kita bercadang menukar semua 15 bas diesel yang menjadi pengangkutan utama mahasiswa ke fakulti kepada bas elektrik secara berperingkat dan menyasarkan pada 2020 semua bas diesel ditukar sepenuhnya.

“Namun, ia bergantung kepada keberkesanan bas elektrik dalam fasa percubaan selama dua bulan ini di mana kita akan melihat kedudukan bas ini dari sudut bentuk jalan kerana UTM mempunyai jalan berbukit dan tidak semuanya jalan lurus,” katanya yang ditemui selepas selesai lawatan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh di UTM, semalam.

Dr Abd Latif berkata, antara kelebihan menggunakan bas elektrik ialah 100 peratus mesra alam sekitar dan sifar pencemaran selain menjimatkan kos diesel sehingga 60 peratus.

“Bas elektrik ini menggunakan bateri cas pantas yang hanya mengambil masa 20 minit untuk dicas dan boleh bertahan sejauh 88 kilometer perjalanan.

“Pihak COMOS dalam proses pembangunan aplikasi jadual perjalanan bas elektrik bagi memudahkan mahasiswa merancang perjalanan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 9:28 AM