PEMBINAN rumah solar dinamakan Mizan Home di Dubai.
PEMBINAN rumah solar dinamakan Mizan Home di Dubai.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Sekumpulan pensyarah dan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai menyahut cabaran bagi mereka serta membina rumah solar dinamakan Mizan Home di Dubai sejak tiga minggu lalu.

Ahli kumpulan projek Mizan Home yang juga pensyarah Seni Bina Lestari di Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, Profesor Madya Dr Mohd Zin Kandar berkata, rumah berkenaan dibangunkan di tapak Solar Sheikh Mohammad Rashid al-Makhtoum sempena pertandingan Solar Decathlon Middle East (SDME2018).

Beliau berkata, sejak 27 Oktober lalu, kumpulan pensyarah dan mahasiswa UTM yang terpilih berkampung di Dubai bagi menyiapkan projek itu.

Menurutnya, pihaknya membina rumah solar dinamakan Mizan bermaksud seimbang dalam bahasa Arab bagi memastikan reka bentuk bangunan dan pembangunan yang seimbang daripada aspek keselesaan penghuni, alam sekitar serta tenaga.

Katanya, rumah berkenaan direka hasil kepakaran penyelidik dan mahasiswa dalam menghasilkan reka bentuk prototaip rumah yang lestari serta bercirikan teknologi termoden.

“Pembabitan pakar dari Institute for Smart Infrastructure & Innovative Construction (ISIIC) School of Civil Engineering, Fakulti Alam Bina & Ukur (FABU), Centre for Electrical Energy System (CEES) menjadi wakil Malaysia dan Asia Tenggara yang berkolaborasi dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Kami bersaing bersama 14 kumpulan peserta lain dan rumah rekaan masing-masing dipamerkan di Mohammed bin Rashid al-Maktoum Solar Park Seih al-Dahal, Dubai.

“Rasa letih dan penat itu perkara biasa ditambah cabaran suhu panas waktu siang dan sejuk pada waktu malam di Dubai, namun kami tidak berputus asa. Semua peserta bersungguh-sungguh menyiapkan projek ini,” katanya.

PENSYARAH dan mahasiswa  UTM berkolaborasi dengan USIM bina Mizan Home di Dubai.
PENSYARAH dan mahasiswa UTM berkolaborasi dengan USIM bina Mizan Home di Dubai.

Mohd Zin berkata, kumpulan UTM menyertai SDME2018 lanjutan kepada kejayaan UTM Solar Deathlon China (SDC2013) di Bandar Datong.

Beliau berkata, pengalaman itu dijadikan asas kepada penyertaan SDME2018 yang turut membabitkan pensyarah dan mahasiswa USIM yang buat kali pertama menyertai pertandingan di peringkat dunia bersama UTM.

“Persiapan reka bentuk termasuk aspek seni bina, kejuruteraan struktur, mekanikal, tenaga diperbaharui dan elektrikal bermula sejak September 2016.

“Kolaborasi antara dua universiti menggambarkan keupayaan universiti awam menjalin kerjasama menghasilkan projek ikonik yang berupaya dipamer dan diketengahkan di peringkat global,” katanya menerusi siaran akhbar.

Mizan Home adalah kolaborasi USIM bersama UTM selaku wakil tunggal negara dan Asia Tenggara ke pertandingan yang dianjurkan Dubai Electricity and Water Authority (DEWA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 7:01 AM