GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hayati Ibrahim


SERAMAI 54,824 calon berjaya memperoleh keputusan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pencapaian itu meningkat sebanyak 18 peratus berbanding 46,461 calon, tahun sebelumnya.

"Seramai 204,684 calon yang menduduki peperiksaan berkenaan di seluruh negara, dan tiada calon yang mendapat semua D bagi semua mata pelajaran yang ditawarkan.

"Calon yang mendapat 7A adalah seramai 21,639 atau 10.57 peratus, 6A (21,462 atau 10.49 peratus), 5A (23,950 atau 11.7 peratus), 4A (21,156 atau 10.34 peratus), 3A (23,223 atau 11.35 peratus), 2A (14,964 atau 7.31 peratus) dan 1A (14,184 atau 6.93 peratus)," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan UPKK di Putrajaya, hari ini.

Calon-calon UPKK boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing mulai 2 petang ini.

Selain itu, keputusan juga boleh disemak secara dalam talian di semakan.islam.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas mySMS 15888 bermula 11 pagi hingga 5 petang pada 5 Februari.

Katanya, bermula tahun ini, pengumuman keputusan UPKK akan dibuat dan diumum dalam tahun semasa, dan semakan maklumat calon yang berdaftar juga boleh dibuat oleh ibu bapa atau penjaga secara dalam talian.

"Selain itu, pendaftaran calon kepada bukan warganegara dibuka mulai tahun ini mengikut syarat ditetapkan.

“Inisiatif penambahbaikan sistem pengurusan UPKK ini diambil bagi memastikan sistem perkhidmatan penyampaian maklumat kepada masyarakat dilaksanakan secara lebih cekap dan efektif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 11:03 AM