Suhaila Shahrul Annuar


KONSEP kemenjadian murid yang diterapkan buat pertama kali dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2018 menunjukkan keberkesanan apabila seramai 99.9 peratus daripada 220,011 calon di seluruh negara lulus mata pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, kemenjadian murid yang menjadi fokus pelaporan kali ini diterjemahkan dengan kejayaan murid dalam semua mata pelajaran UPKK 2018 yang mencatatkan peratusan kelulusan cemerlang.

Katanya, bagi mata pelajaran al-Quran sebanyak 99.8 peratus kelulusan dicatatkan sekali gus menunjukkan kejayaan murid dalam menguasai ibadat solat, Tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian.

“Peratusan kelulusan mata pelajaran lain adalah jawi dan khat (94.4 peratus); adab (akhlak islamiah) 90.9 peratus; Ulum Syariah (akidah dan ibadah) 87.3 peratus; lughatul quran (85.6 peratus) dan sirah 83.1 peratus.

“Bermula tahun ini, kita buat penambahbaikan pada sistem penilaian UPKK yang dijalankan kepada murid tahun lima kelas KAFA yang mana kemenjadian murid bukan diukur melalui bilangan A, tetapi ia diterjemahkan melalui amalan dan cara hidup serta pembudayaan nilai yang dipelajari di kelas KAFA dalam kehidupan seharian.

“Harapan kami adalah untuk menjadikan UPKK sebahagian daripada tanggungjawab bagi menghasilkan warganegara yang seimbang dari sudut pendidikan dan cara hidup sempurna,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2018 di Putrajaya, hari ini.

KETUA Pengarah JAKIM Datuk Mohamad Nordin Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
KETUA Pengarah JAKIM Datuk Mohamad Nordin Ibrahim. FOTO Arkib NSTP

Murid yang menduduki peperiksaan UPKK 2018 boleh menyemak keputusan peperiksaan melalui dua cara iaitu secara dalam talian di alamat http://semakan.islam.gov.my atau khidmat pesanan ringkas UPKK RESULT NO MYKID/NO PENGENALAN KHAS ke mySMS 15888 bermula jam 11 pagi hari ini hingga 25 Disember 2018.

Calon juga boleh mendapatkan pernyataan keputusan peperiksaan UPKK mulai jam 3 petang hari ini di sekolah masing-masing.

Selain itu, katanya, sebagai langkah memperkasakan sistem pendidikan KAFA di Malaysia, JAKIM mengambil inisiatif dengan memasukkan elemen nilai dan tahfiz sebagai satu nilai tambah dalam membangunkan kurikulum KAFA yang baharu.

“JAKIM juga memperluaskan kerjasama latihan bersama Institut Perguruan Malaysia (IPG) bagi meningkatkan kemahiran pedagogi dan keguruan guru penyelia KAFA agar seiring dengan hasrat jabatan ini untuk meletakkan KAFA dalam sistem arus perdana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 1:17 PM