SULTAN Ahmad Shah pada pemasyurannya sebagai Canselor  di Kampus KUIPSAS di Jalan Gambang.
SULTAN Ahmad Shah pada pemasyurannya sebagai Canselor di Kampus KUIPSAS di Jalan Gambang.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah mahu Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) memainkan peranan menyuburkan penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.

Baginda bertitah, tulisan itu warisan Melayu yang patut dikekalkan meskipun pelajar hari ini perlu menguasai pelbagai bahasa asing termasuk Arab.

“Dalam era dunia tanpa sempadan ketika ini, keperluan menguasai lebih dari satu bahasa adalah satu kelebihan dan kemestian kepada graduan kita (dan) di samping itu kita juga mahu KUIPSAS menggerakkan aktiviti tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.

“Tulisan Jawi adalah pusaka Bahasa Melayu yang perlu dikekalkan,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada upacara pemasyurannya sebagai Canselor Kolej Universiti Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini, semalam.

Turut berangkat, Sultanah Pahang Sultanah Kalsom. Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pada istiadat itu, Sultan Ahmad Shah berkenan merasmikan logo serta cogan kata baru KUIPSAS sebelum ini Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS).

Dalam titahnya itu, baginda turut meminta pengurusan KUIPSAS meningkatkan kerjasama dengan universiti terkemuka bagi mencapai status universiti penuh, pada masa akan datang.

Titahnya, ketika ini, kolej universiti itu sudah mengadakan program kerjasama dengan Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Yarmouk dan Universiti Al al-Bayt, Jordan dan beberapa universiti di Indonesia.

Baginda bertitah, pengurusan juga perlu menumpukan usaha memperbanyak penyelidikan supaya hasil kajian dapat diterbitkan dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

“Saya mahu tengok ibu bapa berebut-rebut untuk menghantar anak mereka ke sini,” titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 8:39 AM