Sultan Nazrin menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu yang terbabit dalam kegiatan menjual dan menganugerahkan darjah kebesaran palsu. FOTO Muhaizan Yahya
Sultan Nazrin menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu yang terbabit dalam kegiatan menjual dan menganugerahkan darjah kebesaran palsu. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop


Kuala Kangsar: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap individu yang terbabit dalam kegiatan menjual dan menganugerahkan darjah kebesaran palsu.

Sultan Nazrin bertitah, sekiranya perlu, undang-undang yang lebih ketat hendaklah digubal manakala hukuman yang lebih berat dikenakan supaya aktiviti salah ini dapat dibanteras secara berkesan.

Baginda bertitah, memandangkan aktiviti ini semakin bertambah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan pencegahan secara tegas supaya aktiviti ini tidak merebak.

"Jika aktiviti ini tidak diberhentikan segera, aktiviti ini akan mengakibatkan semakin banyak darjah kebesaran palsu akan dijual dan semakin ramai penerima yang akan menggunakan darjah kebesaran palsu.

"Dilaporkan juga di kalangan para penerima, mereka turut menyalahgunakan darjah kebesaran palsu untuk menuntut mendapatkan layanan istimewa bila berurusan dengan agensi-agensi Kerajaan malah ada juga di kalangan mereka yang turut melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-165 di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, anugerah sesuatu darjah kebesaran dan pengurniaan pingat atas nama negeri Perak Darul Ridzuan terletak di bawah budi bicara Raja Pemerintah dan nama-nama dicalonkan melalui borang pencalonan yang disediakan dengan memberikan justifikasi akan rekod jasa serta khidmat bakti calon kepada Raja Pemerintah dan negeri.

Titah baginda, nama-nama yang dicalonkan, disaring, ditapis dan dinilai oleh Jawatankuasa Dewan Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja sebelum diangkat sembah untuk mendapat perkenan Sultan.

"Orang awam yang didampingi untuk ditawarkan anugerah negeri Perak dengan dikenakan bayaran tertentu, dinasihatkan untuk menghubungi dan membuat laporan kepada PDRM.

"Kerjasama orang awam amat penting supaya aktiviti ini dapat segera dihentikan dan kepentingan orang awam dapat dilindungi daripada aktiviti penipuan," titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 12:37 PM