ANGGOTA APM menangkap ular sawa yang membaham ayam penduduk di Kampung Korongkom, Kota Marudu. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM menangkap ular sawa yang membaham ayam penduduk di Kampung Korongkom, Kota Marudu. FOTO Ihsan APM
Recqueal Raimi


SEORANG warga emas berdepan detik cemas apabila ular sawa berukuran tiga meter membaham ayam peliharaannya dalam kejadian di Kampung Korongkom di Kota Marudu, hari ini.

Kejadian 8.50 pagi itu berlaku ketika Jaffran Pangut, 61, memberi makanan kepada ayam peliharaannya itu sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.

Menceritakan kejadian, Jaffran berkata, dia memasuki reban ayam berdekatan rumahnya kerana pelik apabila beberapa ayam peliharaannya tidak keluar ketika diberi makanan.

“Namun sebaik masuk ke dalam reban, saya terkejut melihat seekor ayam dibaham ular itu sambil membelit seekor ayam lagi.

“Saya percaya reptilia itu sudah beberapa kali muncul berikutan ayam peliharaan saya berkurangan sejak seminggu lalu,” katanya dihubungi.

Menurutnya, panik dengan kejadian itu, dia bergegas keluar dan segera menghubungi APM.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kota Marudu, Nazura Marlinda Sabran berkata, sepasukan anggota dikerah ke lokasi sebaik menerima aduan pada 8.55 pagi.

“Sebaik tiba, anggota APM menangkap reptilia dianggarkan seberat 20 kilogram itu dan dibawa ke pejabat APM untuk diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

“Memandangkan reptilia itu bertindak sedikit agresif, usaha menangkap ular mengambil masa 13 minit sebelum operasi ditamatkan 9.25 pagi kemudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 6:53 PM